Ahad, 29 Januari 2012

NOVEL ISTANA MENANTI (KOMSAS Tingkatan 1)

 


 SINOPSIS KESELURUHAN


Mengisahkan tiga orang sahabat yang amat berminat dalam mengkaji sejarah bersepakat untuk menjejak sebuah istana lama di puncak Gunung Datuk. Fadhil, Ah Seng dan Ramasamy mengunjungi Tuk Ngah yang menjadi pakar rujuk peristiwa bersejarah tentang kaitan Istana Menanti dengan sejarah penting beberapa kerajaan Melayu Melaka dan juga sejarah pejuang tanah air menentang penjajah. Menurut Tuk Ngah, Kewujudan Istana menanti berkait rapat dengan kedatangan orang Minangkabau ke tanah melayu, Raja Melewar menjadi pemerintah yang pertama bersemayam di istana tersebut. Tuk Ngah juga bercerita tentang asal usul nama Rembau dan Sungai Ujung menjadikan remaja bertiga itu semakin teruja hendak menyiasat istana lama tersebut. Pada hari yang sesuai bertemankan Tuk Ngah, tiga bersahabat itu menunjukkan kegigihan mereka mengatasi halangan menawan puncak Gunung datuk dan melihat sendiri keistimewaan Istana Menanti. Semasa dalam perjalanan menuju ke puncak itulah Tuk Ngah bercerita tentang sejarah pembukaan negeri Melaka oleh Paremeswara. Mereka juga singgah sebentar di jeram Lubuk Petai yang dikatakan tempat bersiram Raja Melewar dan Sultan Mahmud. Tuk Ngah sempat memberi nasihat kepada anak remaja itu supaya menjaga tingkah laku semasa menuju ke puncak gunung demi menjaga keselamatan bersama-sama. Apabila sampai ke puncak gunung dan melihat rekabentuk istana yang dikatakan berpuaka itu, Tuk Ngah bercerita pula tentang bentuk bumbungnya yang kelihatan seperti tanduk kerbau itu. Menurut Tuk Ngah, bentuk itu sempena memperingati kemenangan seorang raja Minangkabau yang menang dalam perlawanan kerbau. Tuk Ngah tidak masuk bersama-sama ke dalam istana kerana ingin berehat di luar istana. Mereka bertiga masuk dan melihat keunikan senibina istana lama tersebut. Tiba-tiba mereka terkunci dari dalam. Mereka mencari-cari jalan keluar namun tidak berjumpa. Fadhil cuba mengetuk-ngetuk lantai, lalu terjumpa pintu terowong bawah tanah yang gelap dan berbau hapak. Mereka cuba masuk tetapi gagal kerana terlalu gelap dan tidak tahu berapa jauhnya terowong itu. Mereka kemudian terserempak dengan seorang pemuda dari UPM yang sudah keletihan juga terperangkap dalam terowong tersebut. Ah Seng terasa ingin membuang air besar. Dia masuk ke dalam terowong lalu ditangkap oleh sekumpulan penjenayah. Penjenayah tersebut sedang menggali tanah di dalam terowong itu kerana mencari harta yang mereka simpan semasa mereka berjuang dahulu. Mereka menggelarkan diri mereka sebagai pejuang kebebasan. Akhirnya Fadhil, Ramasamy dan Khairil juga menjadi mangsa dikerah menggali tanah untuk mendapatkan harta tersebut. Setelah harta tersebut ditemui, mereka segera meninggalkan terowong. Dalam pada itu ibu bapa remaja tersebut telah berpakat mencari mrereka dan membuat laporan kepada pihak polis. Mereka beramai-ramai mendaki Gunung Datuk, namun gagal menemui remaja tersebut. Tuk Ngah yang bersembunyi dari penglihatan penjenayah itu muncul lalu memberitahu perkara sebenar. Pihak polis berjaya memerangkap penjenayah tersebut. Remaja bertiga itu juga selamat ditemui. Mereka digelar sebagai wira kampung dalam suatu majlis meraikan keberanian dan kegigihan mereka menempuh cabaran sehingga membantu pihak polis menangkap penjenayah negara tersebut.


TEMA DAN PERSOALAN

Tema

Tema novel Istana Menanti, karya Abd Latip Talib ini ialah semangat sekumpulan remaja yang peka akan sejarah tanah air dan ingin mengkaji kesahihan sejarah tersebut. Fadhil, Ah Seng, dan Ramasamy mewakili golongan remaja yang sangat minat akan subjek sejarah dan mempunyai rasa ingin tahu yang mendalam tentang sejarah setempat. Mereka bertiga juga sanggup meredah hutan belukar untuk melihat sendiri kewujudan dan keunikan Istana Menanti di puncak Gunung Datuk.

Persoalan

(a) Kesedaran golongan muda tentang sejarah tanah air.
Fadhil, Ah Seng, dan Ramasamy sanggup meluangkan masa ke rumah Tuk Ngah kerana warga emas itu banyak mengetahui tentang sejarah setempat dan sejarah negara. Mereka berkongsi maklumat dan info sejarah dengan Tuk Ngah.
(b) Semangat perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat yang berbilang bangsa.
Masyarakat di Kampung Ulu Seperi, Rembau terdiri daripada masyarakat pelbagai kaum dan agama. Mereka hidup bersatu padu dan saling membantu khususnya ketika mencari Fadhil dan rakan-rakannya yang hilang di Gunung Datuk.
(c) Kebijaksanaan pahlawan-pahlawan Melayu pada zaman dahulu dalam mengatur strategi perang.
Pahlawan-pahlawan Melayu terdahulu membina kediaman yang jauh di puncak bukit atau gunung agar terselamat daripada serangan musuh. Istana Menanti yang dibina di puncak gunung telah dijadikan tempat perkumpulan pendekar-pendekar Rembau dalam usaha mereka menentang penaklukan Portugis dan Inggeris.
(d) Keunikan dan keistimewaan bangunan lama.
Istana Menanti terhasil daripada kehebatan orang-orang terdahulu. Meskipun tidak dibina berdasarkan teknologi moden, namun Istana Menanti tetap kukuh dan agam meskipun usianya dianggarkan sudah 500 tahun. Reka bentuk istana itu juga unik kerana atapnya melentik seperti tanduk kerbau. Istana ini mempunyai ukiran yang halus dan cantik. Luasnya pula dapat memuatkan sehingga 300 orang. Tiang istana berjumlah 40 batang juga masih kukuh kerana diperbuat _ daripada kayu keras.
(e) Kepercayaan masyarakat Melayu terhadap perkara-perkara mistik.
Segelintir masyarakat Melayu yang digambarkan dalam novel ini percaya akan perkara-perkara mistik. Contohnya, penduduk setempat percaya bahawa Istana Menanti dihuni oleh makhluk bunian atau berpenunggu. Sebagai contoh, di dalam istana lama itu kononnya tersimpan alat-alat kebesaran raja Melayu zaman dahulu yang sangat berharga. Namun, barang-barang itu tidak boleh dibawa balik kerana kononnya ada makhluk halus yang menjaganya.
Selain itu, ada yang mendakwa bahawa Jeram Lubuk Petai juga dihuni oleh makhluk bunian. Oleh itu, sesiapa yang datang ke jeram itu haruslah berniat baik, tidak bermulut celupar, dan tidak melakukan maksiat. Jika tidak, mungkin ada kecelakaan yang akan menimpa. Sebagai contoh, ada yang mati lemas di dalam lubuk itu sebagai akibat keceluparan dan ada yang kononnya ternampak ular sebesar pokok kelapa muncul dari lubuk tersebut.
(f) Sikap segelintir individu yang tidak menghargai kemerdekaan dan derhaka terhadap negara.
Dalam novel ini, Tuk Ngah bercerita tentang Dolah yang masuk ke dalam hutan untuk menyertai perjuangan komunis sebelum dilantik sebagai ketua ke-10, Parti Komunis Malaya. Pada tahun 1960, ancaman komunis dalam negara ditamatkan. Dolah dan banyak pemimpin Parti Komunis Malaya melarikan diri ke negara China. Selepas negara memberi pengampunan kepada bekas-bekas komunis ini, Dolah kembali ke Malaysia. Malangnya, pengampunan kerajaan ini telah disalahgunakan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan