Analisis Cerpen ‘Warkah Daripada Ibu’
Sumber: Bahagian Pembangunan Kurikulum (KPM)
Sinopsis:
Mira telah menerima warkah daripada ibunya. Hampir setahun Mira dan
adik-adiknya tinggal di kampung bersama dengan datuk dan neneknya. Keputusan
ibu dan ayahnya menghantar Mira untuk tinggal dengan datuk dan neneknya telah
menimbulkan seribu persoalan. Namun ibunya tidak dapat menjawab persoalan
tersebut. Ibu Mira berharap agar suatu hari nanti Mira akan faham tindakan ibu
dan bapanya itu. Mira dan keluarganya telah bersiap untuk ke rumah datuknya di
kampung. Mereka sampai ke kampung datuknya menjelang senja. Pada malam hari
mereka semua telah tidur berderetan di ruang tamu walaupun nenek telah
menyiapkan bilik untuk mereka. Mereka tidur dengan nyenyak sekali kerana
kepenatan seharian dalam perjalanan. Keesokan harinya, apabila ibu dan bapanya
berangkat pulang, perasaan sayu dan hiba mula dirasai oleh Mira. Namun
adik-adiknya kelihatan riang kerana perpisahan dengan ayah dan ibu tidak begitu
bermakna kepada adik-adiknya. Nenek telah mengajak Mira ke kedai untuk
memperkenalkan Mira dengan rakan-rakan sebaya Mira serta mengenali tempat di
kampung neneknya itu. Bermula dengan perkenalan dengan Suzana di kedai, Mira mula
mengenali kawan-kawan barunya yang lain. Mira mula bersekolah dan mengulang
kaji pelajarannya. Dalam keheningan subuh yang syahdu serta bunyi kokok ayam
sahut-menyahut, Mira membaca sekali lagi surat yang dikirim oleh ibunya.
Dalam surat tersebut, ibunya berdoa agar Mira dan adik-adiknya sentiasa
dilindungi Allah. Persoalan yang tidak terjawab oleh ibu Mira sebelum ini telah
dinyatakan di dalam surat tersebut. Masalah sosial yang melanda masyarakat kota
begitu menghantui dan menakutkan ibunya. Manakala corak pergaulan dan
persekitaran di kampung masih yang terbaik kerana masih mengekalkan amalan dan
ciri-ciri hidup masyarakat berharmoni. Ibunya mengimpikan anak-anak yang soleh.
Di kampung, Mira lebih terdedah kepada nilai-nilai moral. Walaupun sejak kecil
ibu bapa Mira mahukan ialah Mira dapat bersyukur dengan apa-apa yang Mira ada.
Hal ini akan membuatkan jiwa Mira kuat dan tabah menghadapi apa-apa jua dugaan
Allah. Setelah hampir setahun, Mira telah menunjukkan prestasi yang baik. Hal
ini menunjukkan Mira sudah faham sebab dia dihantar ke kampung. Setelah membaca
surat daripa ibunya, Mira melipat surat tersebut dengan baik. Sekali lagi air
mata Mira mengalir. Mira baru faham akan tersirat selama ini. Betapa besar
pengorbanan dan harapan ibu dan ayah terhadap Mira.
Tema:
Pengorbanan seorang ibu untuk memastikan kejayaan anak-anaknya pada masa
hadapan. Pengorbanan ini dapat dilihat melalui watak ibu yang menghantar
anak-anaknya ke kampung untuk tinggal bersama-sama dengan ibu dan ayahnya
kerana tidak mahu anak-anaknya terdedah dengan gejala-gejala sosial yang
berlaku di bandar.
Persoalan:
1. Persoalan kasih sayang ibu bapa terhadap anak-anak.
Contoh : Persoalan ini dapat dilihat melalui watak ibu dan ayah yang rela
berpisah dengan anak-anak demi memastikan mereka membesar dalam persekitaran
yang lebih sempurna.
2. Persoalan kesediaan anak melepaskan kemewahan yang dikecapi.
Contoh : Hal ini dapat dilihat melalui watak Mira yang selama ini hidup mewah
bersama dengan ibu bapanya di bandar terpaksa hidup di kampung bersama-sama
datuk dan neneknya yang serba kekurangan di kampung.
3. Persoalan masalah sosial di bandar.
Contoh : Gejala-gejala sosial yang melanda masyarakat bandar adalah berpunca
daripada pegangan agama, pengaruh persekitaran dan pengaruh rakan sebaya.
4. Persoalan tentang masyarakat kampung yang berpegang teguh pada ajaran
agama.
Contoh : Hal ini dapat dilihat melalui watak Mira diminta oleh nenek memakai
tudung kepala kerana sebagai wanita Islam menutup aurat adalah wajib dilakukan.
Plot:
Permulaan
Mira telah menerima warkah daripada ibunya setelah hampir setahun Mira
tinggal di kampung bersama dengan datuk dan neneknya. Keputusan ibu dan ayahnya
menghantar Mira untuk tinggal dengan datuk dan neneknya telah menimbulkan
seribu persoalan kepadanya.
Perkembangan
Mira dan keluarganya telah bersiap-siap untuk ke rumah datuknya di
kampung. Mereka tidur bersama-sama dengan nyenyak sekali kerana kepenatan
seharian dalam perjalanan. Perpisahan dengan ibu dan bapanya telah menimbulkan
perasaan sayu dan hiba Mira. Nenek telah mengajak Mira ke kedai dan dia telah
berkenalan dengan Suzana. Mira mula bersekolah di kampungnya dan suasana
persekolahan di sana telah memberikan kesedaran kepadanya. Mereka tidak
menghiraukan perkara-perkara lain selain mengulang kaji pelajaran.
Klimaks
Mira telah membaca surat yang dikirimkan oleh ibunya. Dalam surat
tersebut, ibunya menyatakan tujuan sebenar dia menghantar Mira dan adik-adiknya
ke kampung kerana bimbang dengan gejala sosial yang melanda masyarakat bandar
kini. Masalah sosial yang melanda masyarakat kota begitu menghantui dan
menakutkan ibunya. Manakala corak pergaulan dan persekitaran di kampung masih
yang terbaik kerana masih mengekalkan amalan dan ciri-ciri hidup masyarakat
berharmoni. Harapan ibunya agar anak-anak menjadi anak yang solehah, mampu
menghargai kasih sayang dan pengorbanan orang tua.
Peleraian
Setelah membaca warkah daripada ibunya, Mira memahami tujuan ibunya
menghantarnya dan adik-adiknya tinggal di kampung.
Teknik Penceritaan:
1. Dialog
2. Deskriptif ( Pemerian )
Contoh: Aku berbangga mempunyai ibu bapa yang penyayang. Walaupun sibuk
dengan kerja dan tugas seharian di pejabat, mereka masih ada waktu untuk
bermesra dengan keluarga. Ibuku seorang yang lemah lembut dan selalu setia
dengan ayah. ( m/s 61 )
3. Monolog Dalaman
Contoh: Keputusan ibu dan ayah menghantar aku dan adik-adik untuk
tinggal di kampung bersama datuk dan nenek, membuatkan aku bertanyakan diriku
dengan berbagai-bagai pertanyaan. ( m/s 1 )
Watak dan Perwatakan:
Watak Utama
Amira
- Anak sulung daripada tiga beradik.
- Kakak kepada Aidil dan Manja.
- Seorang anak yang patuh dan taat kepada ibu dan ayahnya.
- Seorang yang tabah dalam menghadapi kesukaran hidup.
- Sangat menyayangi ibu dan ayahnya.
Watak Sampingan
Ibu
- Ibu kepada Mira, Aidil dan Manja.
- Seorang yang lemah lembut.
- Setia kepada suami.
- Merupakan anak tunggal.
- Seorang ibu yang penyayang.
Ayah
- Bapa kepada Mira, Aidil dan Manja.
- Seorang yang memahami perasaan isteri.
- Menantu yang cukup mengasihi mentuanya.
- Seorang bapa yang penyayang.
Latar:
Masa
1. Waktu malam
- Ketika Mira dan ahli keluarga bermalam di rumah datuk dan neneknya.
2. Waktu siang
- Hari ketika ibu Mira bersama-sama anaknya bersiap untuk pulang ke kampung. Selain itu, semasa Mira dibawa oleh neneknya ke kedai Pak Uda Usop.
3. Waktu senja
- Ketika Mira dan keluarganya sampai ke kampung. Manakala datuk dan neneknya sedang bersiap untuk ke masjid.
Tempat
1. Di rumah ibu dan bapa Mira di
Johor Bharu.
- Semasa mereka bersiap-siap untuk pulang ke kampung.
2. Di rumah datuk dan nenek Mira.
- Peristiwa yang dapat dilihat semasa ahli keluarga Mira telah tidur berderetan di ruang tamu rumah datuk dan neneknya.
3. Di kedai Pak Uda Usop.
- Mira telah dibawa ke sana oleh neneknya dan dia melihat anak-anak gadis seusianya yang sopan berpakaian.
Masyarakat
1. Masyarakat Bandar.
- Masyarakat yang sedar tentang keruntuhan nilai moral. Ayah dan ibi Mira menyedari tentang gejala sosial yang berlaku dalam kalangan masyarakat di bandar.
2. Masyarakat Kampung.
- Masyarakat yang masih kuat berpegang teguh dengan prinsip agama. Hal ini dapat dilihat semasa Mira ke Kedai Pak Uda Usop, ramai anak gadis yang sebaya dengan Mira berpakaian sopan dengan memakai baju kurung serta memakai tudung.
Gaya Bahasa:
1. Sinkope
- Contoh: bu ( ibu ), tak ( tidak ), nek ( nenek ), nak ( hendak )
2. Metafora
- Contoh: Sembili rindu ( m/s 64 )
3. Diksi
- Contoh: Bahasa Arab - Assalamualaikum, Walaikummusalam ( m/s 63 )
4. Peribahasa
- Contoh: Tidur-tidur ayam ( m/s 62 ), makan angin (m/s 61 )
Nilai:
1. Nilai kasih sayang
- Contoh: Ibu dan ayah Mira sangat sayang akan anak-anaknya.
2. Nilai pengorbanan
- Contoh: Setelah membaca warkah daripada ibunya, Mira baru faham betapa besarnya pengorbanan dan harapan ibu dan ayah terhadapnya.
3. Nilai kepatuhan
- Contoh: Dapat diperhatikan apabila nenek Mira menyuruh Mira memakai tudung apabila keluar daripada rumah. Mira akur dengan arahan neneknya walaupun sebelum ini Mira tidak memakai tudung.
Pengajaran:
1.
Kita hendaklah berkorban apa sahaja demi orang yang disayangi.
2.
Kita hendaklah tabah dan reda menghadapi dugaan.
3.
Kita hendaklah menghargai jasa dan pengorbanan ibu bapa.